Saturday, February 14, 2015

BANTUAN ANGGUR UNTUK JERAWAT

biji anggur

Selepas sakit jantung dan kesihatan gigi, sepasukan saintis USA mendapati bahan yang terkandung di dalam anggur boleh memainkan peranan penting bagi melawan jerawat.
Walaupun bagi sesetengah orang, anggur merah boleh membuatkan kulit bercahaya dan kemerah-merahan, saintis di Universiti California, Los Angeles (UCLA), ingin tahu sama ada mereka boleh mengambil sifat antioksidan bahan terpentingnya yang menyihatkan jantung, resveratrol, untuk digunakan sebagai rawatan bagi jerawat.
Selepas menggabungkan antioksidan dengan ubat jerawat biasa, benzoil peroksida, penyelidik mendapati bahawa resveratrol meningkatkan keupayaan ubat menghilangkan jerawat dengan menghalang pertumbuhan bakteria yang menyebabkan jerawat.
Resveratrol bertindak dengan memberhentikan pembentukan radikal bebas, yang menyebabkan sel dan tisu rosak. Sementara itu, benzoil peroksida adalah oksidan yang bertindak dengan mewujudkan radikal bebas yang membunuh bakteria jerawat.
Walaupun, dari segi teori, kedua-dua bahan tersebut sepatutnya membatalkan satu sama lain, penyelidik mendapati kedua-dua unsur tersebut bekerjasama secara erat melawan bakteria: satu membunuh dengan agresif, manakala satu lagi memberi perlindungan anti-bakteria yang berpanjangan.
“Ia seperti menggabungkan yang terbaik daripada kedua-dua dunia dan menawarkan serangan serampang dua mata ke atas bakteria,” kata Dr. Jenny Kim, Pengarang Kanan.
Dalam kajian tersebut, saintis membiakkan satu koloni bakteria yang menyebabkan jerawat, Propionibacterium, dan memasukkan resveratrol dan benzoil peroksida dengan berbagai kepekatan.
Secara sendirian, benzoil peroksida berupaya membunuh bakteria pada kesemua tahap kepekatan, namun kesannya gagal melepasi tahap 24 jam. Resveratrol, apabila disapu secara sendirian, tidak berupaya membunuh bakteria sama agresif dengan benzoil peroksida, tetapi ia mampu menghalang pertumbuhan baru untuk tempoh yang lama.
Tetapi apabila disapu bersama, kajian membuktikan bahawa gabungan tersebut adalah yang paling berkesan dalam mengurangkan bilangan bakteria. – AFP, Relaxnews.